Thursday 18 July 2013

SERUAN NAIK TARAF PERPUSTAKAAN darI DYMM SULTAN SELANGOR

Sultan Selangor Seru Kerajaan Negeri Naiktaraf Perpustakaan Norhayati Umor sultan lawat perpustakaan 18 jul 03 SHAH ALAM I : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan Kerajaan Negeri supaya menaiktaraf perpustakaan di setiap daerah termasuk perpustakaan Raja Tun Uda yang dilawatinya hari ini. Baginta bertitah perpustakaan adalah sebuah tempat gedung ilmu, malah perpustakaan juga boleh dijadikan sebagai tempat riadah di mana ibu bapa dan keluarga boleh datang bersama-sama untuk membaca buku dan membuat rujukan. “Oleh itu, ia hendaklah dilakukan dan janganlah dilupakan begitu sahaja kerana seperti yang kita ketahui banyak aktiviti-aktiviti lain dalam penimbaan ilmu boleh dijalankan di perpustakaan. sultan lawat perpustakaan 18 jul 01 “Beta juga difahamkan pembinaan untuk meletak kenderaan juga perlu dibina dengan segera kerana keadaan yang sesak apabila pengunjung-pengunjung datang ke perpustakaan Raja Tun Uda ini. “Beta juga berkenan supaya landskap yang sedia ada disekeliling perpustakaan ini dinaik taraf dan ditambah dengan pokok-pokok hijau supaya menjadikan kawasan ini indah selain mendatangkan suasana bersih dan menyihatkan.” Baginda bertitah pada Majlis Penyampaian sumbangan buku kepada perpustakaan itu, di Seksyen 13, di sini. Baginda juga menyeru kepada setiap rakyat Selangor supaya bersama-sama menjaga dan memelihara perpustakaan termasuk buku-buku yang terdapat di dalamnya supaya menjadi mercu tanda gedung ilmu. Selain itu, DYMM Sultan Sharafuddin turut berkenan menyerahkan sumbangan buku daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bernilai RM 200,000 kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor. Sumbangan buku-buku yang berjumlah 2,780 naskah itu menggunakan peruntukkan fisabilillah dan merangkumi pelbagai jenis termasuk agama Islam, kesenian dan fiksyen. Baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan berupa empat naskah Al-Quran braille kepada penerima terpilih bagi Persatuan Braille Malaysia. sultan lawat perpustakaan 18 jul 04 Selain dari LZS, turut menyerahkan sumbangan kepada perpustakaan itu ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang memberikan sumbangan sebanyak 50 buah netbook. Manakala Worldwide Holdings Berhad turut menyerahkan sumbangan buku yang bernilai RM 50,000 serta Yayasan Al Bukhary pula menyumbangkan sebanyak RM 13,000. Mengiringi baginda, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ; Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh dan ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri. Hadir sama, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohs Isa; Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Mufti Selangor Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Wednesday 10 July 2013

SELANGOR JADI IKUTAN YANG BAIK !

SHAH ALAM 10 JULAI : Kejayaan kempen mengimarahkan masjid yang telah berlangsung lima tahun di Selangor kini menjadi model kepada negeri lain, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Ini dilihat daripada peningkatan peserta kepada program-program kuliah dan tarbiyyah agama, selain permintaan yang terus meningkat pada bulan Ramadan terhadap bubur lambuk dan buah kurma. Menurut Abdul Khalid, ramai pemimpin dari negeri lain bertanyakan kepada beliau bagaimana caranya untuk mengimarahkan program-program masjid. “Tetapi saya cuma jawab ‘Alhamdulillah’. Saya rasa kita patut mengucapkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pengimarahan Masjid yang bertungkus lumus mengimarahkan masjid,” katanya dalam ucapannya di Majlis Perasmian Pengagihan Bubur Lambuk dan buah Kurma di Masjid Negeri. Katanya, kempen tersebut berjaya menerapkan nilai bahawa masjid bukan sahaja tempat beribadah tetapi menjadikan masjid sebagai tempat bermasyarakat. Dalam majlis itu, sebanyak 1,250 bubur lambuk dan kurma disumbangkan hari ini hasil sumbangan peribadi dari Menteri Besar yang berjumlah RM 5,000. Pengerusi Jawatankuasa Pengimarahan Masjid Negeri, Datuk Seri Indah diRaja, Datuk Abu Bakar Hamid berkata bagi tahun ini, Masjid Negeri menyediakan 2,400 bungkus bubur lambuk dan kurma untuk diagihkan kepada orang ramai secara percuma setiap hari. “Tahun ini, permintaan bubur lambuk dan kurma meningkat. Setiap hari kita akan mengagihkan 1,200 bubur lambuk dan 1,200 buah kurma. “Tahun lepas, setiap hari hanya 1,000 sahaja. Ada peningkatan sebanyak 200 disitu, “katanya. Bubur lambuk yang disediakan oleh Masjid Negeri pada tahun ini merupakan hasil sumbangan 68 orang dari syarikat-syarikat swasta, orang perseorangan dan derma orang ramai. Sebanyak RM 100,000 diperuntukkan untuk pengagihan bubur lambuk dan buah kurma selama 27 hari Ramadhan. Bubur lambuk ini diagihkan selepas waktu Asar setiap hari kepada orang ramai.

Thursday 4 July 2013

45 PERATUS MASIH TAK MAMPU !

45 PERATUS PENJAWAT AWAM MASIH TIDAK MAMPU BELI RUMAH - CUEPACS Bernama 28/6/2013 KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Kira-kira 45 peratus atau 650,000 daripada 1.5 juta penjawat awam masih tidak mampu memiliki rumah kerana faktor harga, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman. Katanya kajian yang dijalankan kesatuan itu baru-baru ini menunjukkan harga rumah yang semakin meningkat menjadi kekangan utama kepada impian tersebut. Menurutnya rata-rata penjawat awam terbabit adalah daripada kumpulan sokongan dan bergaji rendah, manakala bagi golongan berusia 40 tahun ke atas, bergred tinggi selain telah berkhidmat lebih 20 tahun telah memiliki rumah. "Golongan 45 peratus ini terpaksa terus menyewa atau tinggal di kuarters dan terpaksa mengutamakan kos sara hidup," katanya kepada Bernama. Beliau turut meluahkan kebimbangan akan implikasi masalah itu jika ditangani segera. "Antaranya ialah jika mereka membeli rumah pada usia lanjut, ini bermakna mereka akan mengambil masa lebih panjang untuk membayar balik pinjaman. "Kesannya mereka akan menggunakan semua simpanan dan duit pencen yang sepatutnya digunakan untuk hari tua untuk membayar balik pinjaman itu. Kehidupan mereka selepas bersara akan terus dibelenggu hutang," katanya. Malah katanya, mereka juga tidak mampu memohon skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) kerana harga rumah PR1MA yang mencecah RM250,000 adalah di luar kemampuan penjawat awam. Justeru katanya, CUEPACS menggesa kerajaan mengkaji isu itu dan mencadangkan supaya Jabatan Perumahan Negara menyediakan rumah kos sederhana untuk penjawat awam. "Seboleh-bolehnya biarlah ia berharga RM250,000 ke bawah. Saya harap kerajaan dapat kaji isu ini secara serius," katanya. Posted by CUEPACS